“Eh, bila masa saya keluarkan RM XXX?”
“Sejak bila akaun tinggal RM X saja ni?”
Pernah berada dalam situasi seumpama ini?
Dalam kehidupan digital masa kini, senario kehilangan wang melalui transaksi yang tidak disahkan bukanlah suatu perkara yang jarang berlaku. Kes yang melibatkan pemegang akaun bank turut diketahui semakin meningkat. Bagi membantu mereka yang mengalami kehilangan wang melalui transaksi tidak diketahui, jom baca selanjutnya!
Langkah 1: Sekat Akaun dan Pindahkan Semua Duit
Apabila mengesan transaksi yang mencurigakan, langkah pertama adalah memastikan semua duit dipindahkan keluar dari akaun tersebut. Ini termasuklah membuang pautan akaun di laman web atau aplikasi yang menggunakan maklumat akaun bank. Apabila kita memindahkan semua duit keluar dari akaun yang terjejas, individu mengurangkan risiko terhadap kehilangan wang yang lebih besar. Ini kerana dana yang telah dipindahkan tidak lagi terdedah kepada risiko disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Langkah 2: Tukar Semua Kata Laluan
Untuk memastikan keselamatan akaun, tukar semua kata laluan akaun bank dan apa-apa akaun lain yang berkaitan. Ini termasuk kata laluan untuk akaun media sosial, e-mel, dan laman web lain yang mungkin berkaitan dengan maklumat perbankan anda. Selain itu, langkah penukaran kata laluan juga dapat memastikan bahawa maklumat peribadi dan kewangan mereka terlindungi dari akses yang tidak dibenarkan. Kata laluan yang kuat dan unik adalah pertahanan pertama terhadap penipuan dan penyalahgunaan identiti.
Langkah 3: Hubungi Bank anda dan Isytiharkan Berlakunya Penipuan
Segera hubungi bank untuk melaporkan transaksi yang tidak dibenarkan dan isytihar penipuan. Pihak bank akan memberikan arahan selanjutnya mengenai tindakan yang perlu diambil. Lazimnya, pihak bank akan mula menjalankan penyiasatan ke atas transaksi yang dipertikaikan. Ini mungkin melibatkan memeriksa rekod transaksi, mengkaji maklumat akaun, dan berkomunikasi dengan pihak-pihak yang terlibat untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai transaksi tersebut. Jika terdapat aktiviti yang mencurigakan pada akaun, pihak bank mungkin akan menamakan dan menyekat akaun tersebut untuk menghalang akses yang tidak dibenarkan.
Langkah 4: Isi Borang Pertikaian dari bank anda
Borang pertikaian (dispute form) memainkan peranan penting dalam urusan laporan kehilangan wang kerana ia adalah alat yang digunakan untuk mengemukakan aduan atau bantahan terhadap transaksi yang tidak dikenali atau tidak dibenarkan.Anda boleh muat turun borang pertikaian bank anda. Selain itu, anda juga boleh meminta borang tersebut dari wakil bank simpanan anda. Isi borang tersebut dengan maklumat yang lengkap termasuk butiran transaksi yang tidak dibenarkan. Sertakan juga tangkapan skrin transaksi sebagai bukti.
Langkah 5: Dapatkan Kad Debit Baharu
Untuk memastikan keselamatan akaun, pergilah ke cawangan bank terdekat secepat mungkin untuk mendapatkan kad debit baharu. Akaun lama yang mungkin telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab akan ditamatkan secara automatik. Ini bermakna penjenayah tidak akan dapat terus menggunakan maklumat kad lama untuk membuat transaksi yang tidak dibenarkan.
Kesemua langkah di atas adalah panduan umum yang boleh membantu anda yang mengalami kerugian kewangan melalui transaksi tidak diketahui. Walau bagaimanapun, sentiasalah berhubung dengan pihak bank dan mengikuti arahan mereka untuk memastikan proses pemulihan berjalan lancar. Kesedaran terhadap keselamatan maklumat peribadi adalah kunci untuk mengelakkan kejadian serupa di masa depan.
Inginkan lebih banyak tips kewangan? Jangan ketinggalan info semasa dan berita terkini tentang kewangan di Warta Semasa.com!