Masih bingung dengan arah tujuan dan bidang pilihan untuk course terbaik yang sesuai? Sebelum melangkah ke dunia pendidikan tinggi, mari kita renungkan bersama bagaimana proses akreditasi jurusan mampu membentuk dan mengukir masa depan kita.
Di Malaysia, pelbagai institusi pendidikan tinggi (IPT) menawarkan pelbagai program akademik bagi memenuhi keperluan masyarakat serta pasaran pekerjaan. Namun begitu, kita harus memastikan dahulu bahawa program-program ini berkualiti dan memenuhi standard yang ditetapkan. Salah satu cara untuk memastikan ini adalah melalui proses akreditasi yang dijalankan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Apa Itu Akreditasi?
Akreditasi merupakan satu proses penilaian berkala yang dilaksanakan oleh MQA bagi memastikan program-program pengajian tinggi mematuhi standard yang ditetapkan. Proses ini melibatkan penilaian terhadap kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, kemudahan fizikal, kakitangan akademik, serta hasil pengajian pelajar.
Tahap Akreditasi
Program-program akademik dikategorikan kepada beberapa tahap pensijilan di bawah Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF), bermula dari tahap Sijil sehingga Kedoktoran. Setiap tahap pensijilan mempunyai standard dan kriteria yang tersendiri untuk dipatuhi.
Kelebihan Akreditasi MQA
Akreditasi MQA membawa pelbagai kelebihan kepada pelajar dan IPT:
- Program yang diakreditasi memastikan piawaian kualiti yang ditetapkan bagi setiap tahap program akademik.
- Pelajar dapat memilih laluan akademik yang betul dengan pengetahuan bahawa program yang dipilih memenuhi standard yang ditetapkan.
- Akreditasi memudahkan proses permohonan pindahan kredit antara institusi atau program-program yang diakreditasi.
- Program yang diakreditasi adalah salah satu syarat penting bagi mendapatkan bantuan kewangan atau pinjaman pendidikan seperti yang ditawarkan oleh PTPTN.
- Program yang diakreditasi juga diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan Malaysia, membolehkan graduan memohon perjawatan dalam perkhidmatan awam.
Baca lagi: 5 Tips Cara Pilih Course Sesuai
Ini Istilah Akreditasi yang perlu Anda Tahu!
Terdapat beberapa istilah akreditasi yang lazimnya digunakan oleh pihak institusi pendidikan tinggi dalam hebahan-hebahan tawaran ‘course’ mereka.
Kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
- merujuk kepada persetujuan bertulis yang diberikan oleh KPT kepada institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melaksanakan sesuatu program pengajian.
- Walau bagaimanapun, kelulusan ini tidak menjamin bahawa program tersebut telah melalui proses akreditasi oleh Agensi Kelayaan Malaysia (MQA).
Akreditasi penuh (Full Accreditation)
- satu pengiktirafan rasmi yang diberikan kepada IPT, menegaskan bahawa sijil, diploma, atau ijazah yang diberikan kepada graduan telah mematuhi standard yang ditetapkan oleh MQA.
Akreditasi Sementara (Provisional Accreditation)
- diberikan kepada program baru yang ditawarkan oleh IPT sebagai penilaian awal.
- Program tersebut diberi status Akreditasi Sementara selepas memenuhi syarat dan standard yang ditetapkan oleh MQA.
- Merupakan fasa awal penilaian sebelum program tersebut diiktiraf sepenuhnya melalui Akreditasi Penuh
- diberikan dengan tempoh sah laku tertentu, di mana program perlu melalui proses penilaian Akreditasi Penuh sebelum tempoh sah laku berakhir.
Dalam mengakhiri perbincangan ini, memilih jurusan yang menerima pengiktirafan MQA bukanlah sekadar satu keputusan kecil. Ia merupakan langkah penting dalam membentuk masa depan akademik dan profesional kita. Akreditasi MQA membawa jaminan kualiti, pengiktirafan dan kemudahan terbaik dalam pengurusan pendidikan tinggi.
Bahkan, ia membuka pintu kepada pelbagai peluang termasuk pengiktirafan oleh agensi kerajaan, bantuan kewangan dan peluang pekerjaan yang lebih besar. Ambil lah langkah bijak dengan memilih jurusan yang menerima pengiktirafan MQA. Ini adalah langkah penting dalam membina landasan yang kukuh untuk masa depan yang cerah dan berjaya.
Semak sijil MQA untuk course pilihan anda di sini: https://www2.mqa.gov.my/mqr/