WartaSemasa

Info Semasa, Bantuan Kerajaan, Kerja Kosong, Pendidikan & Kewangan

Sijil Percuma Tajaan Kerajaan untuk Belajar AI

Pembelajaran sentiasa menjadi salah satu usaha memantapkan lagi kemahiran kita untuk lebih faham cabaran digital kini. Lagi-lagi pada zaman kecerdasan buataan (artificial intelligence ), perkembangannya sudah melangkaui sempadan teori dan idea semata-mata. Pada hari ini, teknologi AI telahpun sampai ke tangan para pengguna muda.Namun begitu, bagaimana pula dengan orang awam yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang AI tanpa merasa dipinggir dek teknikaliti yang rumit?

Inilah keperluan yang dijawab oleh Program AI untuk Rakyat. Program pembelajaran kendiri dalam talian ini bertujuan untuk memberikan kesedaran tentang AI kepada semua lapisan masyarakat. Program ini membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang ingin mempelajari asas-asas AI dan kepentingannya dalam masyarakat moden secara percuma. Lebih menarik, program ini terbuka kepada semua orang tanpa mengira umur, jantina, bangsa dan tahap pengetahuan IT yang mereka ada.

Program percuma untuk semua peserta

Untuk pengetahuan anda, program ini menawarkan dua bahagian utama: AI Aware dan AI Appreciate. Dalam bahagian AI Aware, peserta akan diperkenalkan kepada konsep asas AI, aplikasinya dalam pelbagai bidang, serta mitos dan pemikiran yang salah yang berkaitan dengan teknologi ini. Ini memberikan asas yang kukuh bagi mereka yang baru mengenali AI.

Seterusnya, bahagian AI Appreciate membawa peserta lebih jauh dengan memberikan pengetahuan mendalam tentang domain utama AI seperti Komputeran Visual, Pemprosesan Bahasa Semula Jadi, dan Data Statistik. Mereka juga akan didedahkan kepada isu-isu etika dalam penggunaan AI. Hasilnya, peserta akan dapat memahami cara AI berfungsi dan kesannya kepada masyarakat.

Via KPT

Selain itu, laman program ini turut merangkumi fungsi khas untuk golongan kurang upaya. Misalnya, aplikasi cakap balik untuk mereka yang mempunyai keperluan khas dalam penglihatan. Secara langsung, program ini memberi peluang kepada semua untuk memperoleh pengetahuan tentang AI.

Cara sertai Program AI untuk Rakyat

Untuk menyertai program ini, peserta perlu mempunyai peranti pintar dan sambungan internet yang stabil. Anda boleh memilih untuk daftar masuk atau log masuk (sekiranya telah mendaftar).

1. Isikan maklumat peribadi anda dengan lengkap dan betul

 

2. Dapatkan OTP sama ada melalui nombor telefon atau alamat emel yang telah dimasukkan tadi

Setelah terima OTP, anda akan melihat paparan ini

3. Teruskan belajar asas AI di sini

Anda boleh menekan mana-mana kursus ini

Manfaat yang paling ketara daripada program ini bukan sahaja datang daripada pengetahuan yang diperoleh, tetapi juga dari pengiktirafan dalam bentuk lencana digital. Dengan menjadi pemegang lencana AI Aware dan AI Appreciate, peserta bukan sahaja mendapat pengiktirafan untuk pencapaian mereka tetapi juga menjadi duta pengetahuan tentang AI di kalangan rakan-rakan dan keluarga mereka.

Secara keseluruhannya, Program AI untuk Rakyat adalah langkah penting ke arah membangunkan masyarakat yang lebih berpengetahuan tentang teknologi. Dengan memberikan akses kepada pengetahuan asas AI kepada semua lapisan masyarakat, program ini memperluas sempadan pemahaman teknologi moden, membentuk masyarakat yang lebih terdidik dan terhubung dengan masa depan yang semakin berkembang pesat.

Tekan sini untuk laman sesawang Sijil Percuma AI untuk Rakyat

Jangan terlepas lebih banyak info semasa dan kemaskini terbaru di sini !

Ikuti Group Whatsapp WartaSemasa :

 

Kategori